Sunday 28 October 2012

Hakikat Tauhid

PENGERTIAN TAUHID

 Perkataan Tauhid berasal dari perkataan Arab (wahada) yang bereti mengesakan. Dari segi istilah bermaksud beritiqad dan mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala itu esa dan tunggal, tiada syirik atau sekutu baginya. Fahaman secara praktikalnya tauhid ialah suatu pegangan hidup yang mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Tuhan yang Maha Esa dan tidak ada sekutu baginya atauupun yang menyerupaiNya. Firman Allah subhaanahu wa taaala:

   Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku ialah Allah yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon segala hajat. Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tiada sesiapa yang setara denganNya.(Al-Ikhlas:1-4)

PEMBAHAGIAN TAUHID

 Tauhid terbahagi kepada tiga:

1.      Tauhid Rububiyyah

2.      Tauhid Uluhiyyah

3.      Tauhid Asma was Sifaat

Tauhid Rububiyyah

     Tauhid rububiyyah bererti mempercayai Allah sebagai Rabb atau Pencipta dan Penguasa terhadap sesuatu. Allahlah Pencipta sekalian makhluk dan alam ini, Pemilik, Pentadbir dan Pemberi segala-galanya. Allah yang menghidukan dan mematikan sesuatu, Dia yang berkuasa memberi manfaat dan mudharat terhadap sesuatu dan tiada siapa yang berhak dan berkuasa untuk melakukan sesuatu kebaikan atau keburukan tanpa izinNya.

 Firman Allah subhaanahu wa taaala:

      Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagimu, maka tiada siapa yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambaNya dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Tauhid Uluhiyyah

 Tauhid Uluhiyyah juga dikenali sebagai Tauhid Ibadah. Tauhid Uluhiyyah ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah subhaanahu wa taaala shaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahanNya. Dia sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepadaNya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. Firman Allah subhaanahu wa taaala:

  Hanya Engkau sahajalah (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engaku sahajalah yang kami memohan pertolongan.(Al-Faatehah:5)

 Inilah konsep ibadah atau pengabdian sebenarnya yang membezakan antara mukmin dengan kafir iaitu setiap perbuatan lahiriyyah dan batiniyyah dilakukan semata-mata kerana Allah subhaanahu wa taaala dan untuk mendapatkan keredhaanNya. Ini bererti meletakkan seluruh perbuatan, percakapan dan tingkah laku di atas perintah dan petunjuk Allah semata-mata.

Tauhid Asma was Sifaa

Tauhid Asma was Sifat ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah subhaanahu wa taaala mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesaranNya. Segala nama dan sifat Allah itu tidak sama dengan nama dan sifat makhluk. Walaupun nama-nama dan sifat-sifat tersebut sama pada sebutannya dengan nama dan sifat makhluk, tetapi hakikatnya ia tidak menyerupai nama dan sifat makhluk. Firman Allah subhaanhu wa taaala:

  Tiada suatu pun yang sebanding denganNya (dengan zatNya, namaNya dan sifatNya), dan Dialah Yang Mendengar Lagi Maha Melihat.

 Di dalam ayat lain Allah subhaanahu wa taaala berfirman:

  Dan bagi Allah itu, nama-nama yang baik. Serulah dan berdoalah kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya, mereka akan mendapat balasan akan apa yang mereka kerjakan.

PERTAUTAN KETIGA-TIGA JENIS TAUHID

Seseorang Muslim mestilah mentauhidkan Allah subhaanahu wa taaala pada ketiga-tiga jenis tauhid ini. Jika tidak, dia tidak dianggap sebagai seorang Mukmin. Seseorang Mukmin wajib beritiqad bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Rabb bagi segala perkara dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dia juga wajib mengaku dan beriman bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan mempunyai nama-nama yang layak denganNya. Setelah seseorang beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini maka barulah dia dikatakan telah beriman dengan Allah.

 Tauhid Rububiyyah diiktiiraf dan diakui oleh semua manusia sama ada seorang Muslim atau kafir. Oleh itu, kalau seseorang hanya mengakui dan beriman kepada tauhid ini sahaja tanpa disetai oleh tauhid-tauhid lain, maka dia belum boleh dianggap sebagai seorang Muslim. Fitrah Insaniyyah sudah sedia mengenali dan mengakui rububiyyah Allah subhaanahu wa taaala. Tetapi tauhid ini tidak boleh diingkari walaupun ia diakui oleh semua manusia. Firman Allah subhaanu wa taaala:

  Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka demikian tidak mengingkari Allah) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)

 Segala pengakuan manusia terbukti melalui ibadatnya yang terkandung dalam tauhid uluhiyyah. Apabila seseorang beriman dengan tauhid uluhiyyah, maka secara tidak langsung dia beriman dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Ini kerana, tauhid uluhiyyah terkandung di bawah tauhid-tauhid lain dan sebaliknya. Seseorang yang beriman dengan tauhid rububiyyah sahaja tidak semestinya beriman dengan uluhiyyah Allah. Ada dari mereka yang beriman dengan rububiyyah Allah tetapi menyembah patung, berhala, bulan dan seumpamanya tetapi tidak mentaati Allah.

 Begitu juga seseorang yang beriman dengan tauhid asma was sifat kadang-kadang kufur dengan uluhiyyah. Tetapi jika dia beriman dengan tauhid uluhiyyah dan menyembah Allah subhaanahu wa taaala, dia juga beriman dengan dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Tauhid uluhiyyah berasaskan ucapan (Laa Ilaaha Illa Allah). Manusia dijadikan untuk menyembah Allah. Inilah intisari tauhid uluhiyyah.

 Jadi untuk menjadi seorang Mukmin yang sejati, seseorang itu wajib beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini serentak tanpa mengasingkan di antara satu sama lain.

PENGERTIAN SYAHADAH

 Pengakuan dan pengiktirafan tauhid ini tidak akan terhasil melainkan dengan mengucap dan melafazkan dua kalimah syahadah: (Ash-haduallaailaahaillallah,waash-haduannamuhammadarrasuulullah) yang bermaksud: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah sebenar-benarnya melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam itu persuruh Allah.

 Syahadah bererti pengetahuan, penerangan, pengkhabaran, dan pernyataan. Orang yang bersyahadah dipanggil bersaksi kerana dia mengkhabarkan dan memberitahu apa yang diketahui olehnya. Kalimah syahadah juga mengandungi pengertian ikrar , iktiraf dan itiqad iaitu pengakuan, pengiktirafan dan kepercayaan. Seseorang yang bersyahadah memang mempercayaai kebenaran apa yang dikhabarkannya. Orang yang bersyahadah ini hendaklah sedar bahawa segala pengajaran dan peraturan yang disampaikan melalui Al-Quran dan Hadeeth adalah benar dan betul. Seseorang yang bersyahadah hendaklah tunduk dan patuh kepada kehendak syahadah dan tuntutannya kerana syahadah itu menuntut individu melaksanakan tuntutan-tuntutannya

 TUNTUTAN-TUNTUTAN SYAHADAH

 Syahadah yang diucapkan hasil dari kesedaran dan keikhlasan melahirkan tauhid yang sempurna yang berfungsi untuk mendesak orang yang mengucapkannya supaya melaksanakan segala tuntutan syahadah tersebut.

Di antara tuntutan syahadah ialah:

*         Membenarkan segala yang datang daripada Allah dan Rasulnya

Seseorang Mukmin wajib percaya tanpa ragu dan syak segala yang datang daripada Allah dan RasulNya yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadeeth. Seterusnya mereka percaya bahawa segala perkara yng bukan dari Allah dan RasulNya yang bercanggah dengan Islam adalah palsu.

*         Melaksanakan hukum-hukum dari kitab Allah dan RasulNya

 Semua hukum dan peraturan Allah dan RasulNya yang termaktub di dalam Al-Quran dan Hadeeth mesti dilaksanakan dalam semua urusan hidup, sam ada urusan ibadat, politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya.

 Firman Allah subhaanahu wa taaala:

  Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad) mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim di dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak pula merasa sesuatu di dalam hati mereka keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

 Dapat difahami dari ayat ini bahawa orang-orang yang beriman rela menghukum dengan hukum Allah dan RasulNya dan menerima hukum itu dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Tiada perasaan tidak puas hati atau tidak bersetuju dengan hukum tersebut dan jauh sekali dari menukarkan hukum-hukum atau undang-undang Allah dengan undang-undang ciptaan makhluk. Oleh sebab itu, melaksanakan hukum-hukum dan undang-undang Allah merupakan suatu kewajipan dan tanggungjawab yang besar yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan seharian.

 RUJUKAN

1.      Konsep-konsep Umum Islam Abu Urwah

2.      JAHEAIK

Thursday 18 October 2012

Nafkah isteri - kewajipan suami menyediakan pembantu

Assalamualaikum warahmatullah,

Saya percaya, ramai yang tidak mengetahui tentang nafkah yang ini, jika ada yang mengetahuinya, ia cuma dipandang sebelah mata sahaja. Umum berpendapat, tugas dan tanggungjawap memasak, mengemas rumah dan segala-gala hal-hal yang berkaitan dengan hal ehwal rumahtangga terbeban di atas bahu isteri semata-mata. Cuba semak keseluruhan artikel selanjutnya, sekiranya anda berpendirian demikian.

Imam An-Nawawi menyebutkan bahawa perempuan itu dua macam iaitu perempuan yang kebiasaannya mempunyai pembantu (khadam) dan perempuan yang tidak mempunyai pembantu. Oleh yang demikian menurut mazhab Syafi‘è tidak wajib menyediakan pembantu bagi isteri jika suami tidak mampu. Walau bagaimanapun suami dituntut menyediakan pembantu jika isteri dari keluarga yang kebiasaannya mempunyai pembantu. (Raudhah At-Talibin: 6/453-455) Dalam hal ini, suami juga dituntut (wajib) membayar nafkah bagi pembantu tersebut seperti bayaran gaji, makan minum dan pakaian (sekali setiap enam bulan). (Raudhah At-Talibin: 6/453-455)

Dalam pada itu Imam As-Syirazi pula menyebutkan bahawa suami hanya patut menyediakan seorang pembantu sahaja bagi isterinya dan pembantu itu adalah seorang perempuan atau seorang lelaki yang mempunyai hubungan mahram dengan si isteri. (Al-Majmuk: 19/367)

Pekerjaan yang wajib dilakukan oleh seorang pembantu isteri itu hanyalah mengenai hal-hal yang khusus dan diperlukan oleh isteri sahaja seperti menyediakan makan minum isteri, membasuh pakaian isteri, memasak makanan isteri dan mengangkat air untuk mandian dan untuk minuman.

Ada ulamak menyebutkan bahawa kerja-kerja harian di dalam rumah seperti memasak makanan suami dan mencuci pakaian suami, bukanlah menjadi kewajipan isteri dan pembantu tersebut; isteri hanya boleh melakukannya secara sukarela, bahkan ia adalah tugas suami sendiri atau ditangani oleh orang lain dengan cara upah dan sebagainya. (Al-Majmuk: 19/369 & I‘anah At-Thalibin: 4/114-115). Hukum ini adalah hasil ijtihad ulamak dan ia bertentangan dengan urf atau kebiasaan dalam masyarakat. Sedangkan urf dan kebiasaan itu boleh dipakai dalam menentukan dan menetapkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya, tetapi bukan sebagai kewajipannya yang mutlak.

Beberapa alasan berikut juga boleh dijadikan hujah:

1. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman kepada para isteri yang tafsirnya, “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 228)

Sebahagian ulamak tafsir menta’wilkan ayat di atas, supaya para isteri berkhidmat dengan baik ke atas para suami sepertimana para isteri berbuat taat kepada suami mereka sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. (At-Thabari:2/613-614)

Pengarang kitab Fatawa Mu‘asyirah ada menyebutkan mengenai maksud perkataan al-makruf dalam ayat di atas, beliau berkata yang maksudnya, “Khidmat seorang isteri kepada suaminya adalah makruf (kebaikan). Adapun membuat perempuan (isteri) itu bersenang-senang sementara lelaki melaksanakan urusan rumah seperti menyapu, mengisar gandum, menguli tepung, membuat roti, membasuh … (lain-lain lagi), bukanlah perkara yang makruf, (kerana) lelaki itu bekerja dan membanting tulang di luar rumah, maka demi keadilan sewajarnya wanita berperanan melaksanakan tugas-tugas rumah tersebut. (Fatawa muàsyirah: 1/506)

2. Suami adalah qawwam (pemimpin) dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap isteri sebagaimana disebutkan dalam firman Allah Ta‘àla yang tafsirnya, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita.” (Surah An-Nisaa’, ayat 34)

Oleh yang demikian, isteri hendaklah menjaga kepentingan suami. Maka jalan yang serasi dan bermuafakat dengan adat dan budaya orang Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja rumah manakala suami pula hanya membantu. Tidaklah menjadi kesalahan, jika ada suami yang berminat dan bersedia melakukan kerja-kerja di rumah seperti kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, kerana Rasulullah SAW juga melakukan perkara-perkara tersebut, sementara isteri pula bekerja di luar seperti berniaga dan sebagainya di atas kerelaan suami isteri.

3. Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan kehidupan harian Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai suami dan isteri, yang masing-masing itu memberi khidmat dan bantu membantu antara satu sama lain; Rasulullah SAW dalam membantu dan menolong ahli keluarga Baginda telah dijadikan contoh tauladan oleh umat manusia. Baginda sebagai seorang Rasul sekaligus sebagai pemimpin negara tidak camah mata kepada ahli keluarga Baginda.

Ini terbukti dalam satu riwayat daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid).” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Hadis diatas disokong lagi oleh hadis-hadis lain yang menceritakan Baginda SAW sendiri membuat kerja-kerja rumah seperti menjahit baju, mencuci pakaian, menampal kasut, memerah susu dan lain-lain, sebagaimana riwayat daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada seorang lelaki katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda sendiri telah menjahit baju dan menmpal kasut atau seumpama ini.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam riwayat yang lain yang maksudnya, “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda sendiri menjahit bajunya dan menampal kasutnya, dan Baginda juga membuat pekerjaan yang dibuat oleh kebanyakkan orang lelaki (suami) di rumah-rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam riwayat yang lain lagi yang maksudnya, “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda adalah manusia seperti manusia biasa di mana Baginda sendiri membersihkan (mencuci) pakaiannya, memerah susu kambing dan membuat kerja-kerja (yang lain) untuk dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah bahawa mengurus rumah dengan membantu para isteri itu adalah sunnah Rasulullah SAW, dan amalan tersebut bukanlah sebagaimana anggapan sebahagian orang awam sebagai “queen control”. Maka perbuatan tersebut hendaknya dikekalkan demi kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga.

Begitu juga kehidupan harian para sahabat sebagai suami isteri, masing-masing mereka memberi khidmat dan bantu membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, Asma’ binti Abu Bakar, isteri sahabat Zubair bin Al-Awwam, sentiasa membantu suaminya dengan memberi makan kuda, mengangkat air dari tempat yang berbatu-batu jauhnya. Hal ini diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abi Mulaikah yang maksudnya, “Sesungguhnya Asma’ telah berkata: “Aku pernah memberikan khidmat (melayani) Az-Zubair dalam urusan rumahtangga. Dia (Az-Zubair) mempunyai seekor kuda dan akulah yang mengurusnya. Tidak ada suatu khidmat (kerja) yang lebih berat bagiku daripada mengurus kuda kerana akulah yang mencarikan rumput, menjaganya dan mengurus segala keperluannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain yang maksudnya, “Daripada Asma’ binti Abu Bakar katanya: “Az-Zubair mengahwini aku, dia tidak mempunyai harta, hamba dan apa pun di muka bumi ini selain seekor kuda”. Kata Asma’ lagi: “Akulah yang memberi makan kudanya, mencukupkan keperluan makannya, mengurusnya, menumbuk biji kurma sebagai minumannya, memberinya makan, meminumkan air, melubangi timbanya dan mengadun roti. Tetapi aku tidak boleh membuat roti dengan baik, dan kaum wanita Ansharlah yang biasa membuatkan roti untukku. Mereka adalah para wanita yang ikhlas”. Beliau berkata lagi: “Aku biasa mengangkat biji kurma di atas kepalaku dari kebun Az-Zubair iaitu tanah yang diberikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Tanah itu kira-kira jauhnya satu pertiga farsakh dari kota.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain Fatimah telah mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta seorang pembantu yang maksudnya, “Daripada Ali bin Abi Talib, sesungguhnya Fatimah pernah mengadu kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, meminta kepada Baginda seorang pembantu. Lalu Baginda bersabda: “Bagaimana jika aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik untuk mu daripada seorang pembantu; iaitu kamu bertasbih kepada Allah sebanyak tiga puluh tiga kali ketika hendak tidur, bertahmid (memuji Allah) sebanyak tiga puluh tiga kali dan membaca takbir kepada Allah sebanyak tiga puluh empat kali.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Rasulullah SAW agar mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah. Tetapi Baginda mengajar Fatimah perkara yang lebih baik daripada seorang pembantu. Dengan makna yang lain Baginda melazimkan Fatimah agar terus melakukan sendiri kerja-kerja dan urusan rumahnya sekaligus tidak pula mengatakan kerja itu diserah kepada Ali kerana tanggungjawabnya sebagai suami. Jawapan Rasulullah SAW kepada puterinya itu adalah suatu perakuan (taqrir) yang dengan sendirinya menurunkan hukum yang bakal dipakai oleh umatnya, iaitu dalam menentukan tanggungjawab siapa sepatutnya melakukan kerja-kerja rumah, suami atau isteri.

Fatimah Az-Zahra adalah salah seorang puteri Nabi iaitu penghulu segala wanita. Sebagai isteri kepada Saiyidina Ali bin Abi Talib, beliau turut serta memberi khidmat kepada suaminya dan melakukan sendiri kerja-kerja memasak, membuat tepung, mengadun, membuat roti dan mengisar tepung sehingga pecah-pecah kedua tangannya.

Berdasarkan hadis di atas juga Ibnu Hubaib mengatakan bahawa Rasulullah SAW memutuskan supaya Fatimah berperanan melakukan tugas-tugas dalaman, sementara Ali berperanan melakukan tugas-tugas luar. Maksud tugas-tugas dalaman ialah membuat tepung, memasak, menyapu dan semua kerja rumah. (Fath Al-Bari: 10/635)

Berdasarkan hujjah-hujjah di atas, adalah elok jika isteri dapat membuat pekerjaan atau perkara-perkara yang lazimnya dibuat oleh para isteri seperti memasak, mencuci pakaian, menyediakan makanan dan sebagainya untuk suaminya kerana agama Islam sangat menggalakkan umatnya bantu-membantu dan tolong-menolong antara satu dengan lain lebih-lebih lagi suami isteri. Dalam perkara tolong menolong dan bantu membantu ini Allah Ta‘àla telah menjelaskan dalam firmanNya yang tafsirnya, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.” (Surah Al-Maidah, ayat 2)

FirmanNya yang lain yang tafsirnya, “Dan mereka pula bersegera pada membuat dan mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya) adalah dari orang-orang yang salih.” (Surah Ali Imran, ayat 114)

Perkara sedemikian juga bersesuaian dengan budaya masyarakat Melayu iaitu kerja-kerja berat biasanya menjadi kewajipan suami manakala kerja-kerja ringan biasanya menjadi kewajipan isteri.

Berdasarkan penjelasan yang telah dihuraikan di atas, dalam apa jua keadaan suami mempunyai satu darjat kelebihan ke atas seorang perempuan (isteri), kerana suamilah yang berkuasa mengawalnya dan memberi mereka nafkah, sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya, “Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isteri-isteri).” (Surah Al-Baqarah, ayat 228)

Kesimpulannya, seorang isteri adalah menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakannya dengan cara yang baik, maka begitulah juga suami menanggung kewajipan terhadap isterinya yang wajib dilaksanakannya dengan cara yang baik juga, sebagaimana dijelaskan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya, “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (tidak dilarang oleh syarak).” (Surah Al-Baqarah, ayat 228)

Semoga rumahtangga kita diberkati Allah SWT. Amiin.

Kisah Sayyidina Umar r.a dengan seorang lelaki...

Lelaki itu terpaku di luar rumah Sayyidina Umar al Khattab. Tidak jadi dia hendak memberi salam kepada tuan rumah. Tak sangka Sayyidina Umar hanya diam saja bila isterinya merungut sesuatu dan berceloteh panjang. Tidak terdengar langsung suara beliau membalas kata-kata isterinya.

"Jika begini sikap Umar padahal beliau seorang yang sentiasa bersikap tegas dan keras, dan beliau juga seorang Amirul Mukminin...betapalah aku," bisik lelaki tadi. Niat asalnya adalah untuk mengadu kepada khalifah mengenai sikap isterinya yang tidak disenangi, tetapi niatnya terbantut.

Ketika dia sudah membelakangi pintu untuk melangkah pulang, Sayyidina Umar kebetulan menjenguk keluar. Sayyidina Umar lantas memanggilnya dan bertanyakan hajatnya.

"Wahai Amirul Mukminin," jawabnya, "sebenarnya aku datang ingin mengadukan keburukan isteriku kepadamu. Dia selalu berleter kepadaku. Tetapi aku mendengar isterimu juga bersikap demikian, jadi aku mengambil keputusan untuk pulang saja."

Sayyidina Umar berkata, "wahai saudara! Sesungguhnya aku menahan diri terhadap sikapnya itu kerana dia ada hak keatas diriku. Dialah yang memasakkan makananku, memasak roti untukku, membasuh pakaianku, menyusukan anak-anakku, padahal semuanya itu bukan kewajipannya. Selain daripada itu, hatiku menjadi tenteram dengannya daripada perbuatan haram. Itulah sebabnya aku sanggup bersabar atas sikapnya itu."

"Wahai Amirul Mukminin, demikian jugalah isteriku," balas lelaki tadi.

Sayyidina menambah, "wahai saudara, bersabarlah atas sikap isterimu itu kerana ia hanya sebentar sahaja."