Istilah atau
kalimah Ahli Sunnah wal-Jamaah sememangnya sudah tidak asing lagi kepada
masyarakat Islam Nusantara. Namun,
apabila membincangkan perihal Ahli Sunnah wal-Jamaah terlalu sedikit yang
mengetahui pengertian kalimah ini. Oleh
itu, perlulah terlebih dahulu difahami pengertiannya (istilah atau definisinya)
sama ada disegi bahasa atau syara. Istilah “Ahli Sunnah wal-Jamaah” terdiri dari tiga kalimah, iaitu:
Pertama: Pengertian Ahli
Kedua: Pengertian Sunnah
Ketiga: Pengertian al-Jamaah.
PENGERTIAN
AHLI
Perkataan “Ahli” mengikut Bahasa
Arab secara ringkas boleh diertikan kepada beberapa maksud, antaranya ialah:
1. Ahli bermakusd: "Pakar, Yang Berilmu atau Yang
Pandai" sebagaimana firman Allah:
فَسْئَلُوْا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَ.
"Maka
tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu jika kamu tidak
mengetahui". Al-Anbiya, 21:7.
2. Ahli yang bermaksud "Pengikut
atau Anggota" satu-satu aliran (fahaman) atau kumpulan, contohnya
sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah:
يَا
اَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُوْنَ بِاَيَاتِ اللهِ
"Hai
Ahli Kitab! Mengapa kamu mengingkari
ayat-ayat Allah padahal kamu mengetahui kebenarannya". Ali Imran, 3:70.
وَاْمُرْ اَهْلَكَ بِالصَّلاَةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
"Dan
perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam
mengerjakannya". Taha, 20:132.
Pada ayat ini ahli bermaksud anggota
keluarga. Antara contoh-contoh yang lain
ialah: Ahli pertubuhan, ahli parlimen, ahli mahzab, ahli sukan dan sebagainya.
PENGERTIAN
SUNNAH
1.
As-Sunnah: Sunnah menurut
pengertian bahasa ialah: Tariqah (الطريقة)
"Jalan"[1] atau sirah (السيرة)
"Sirah".[2] Sebagaimana yang
dikatakan:
اَلسُّنَّةُ هِيَ الطَّرِيْقَةُ ، مَحْمُوْدَةٌ كَانَتْ اَمْ مَذْمُوْمَةٌ.
"As-Sunnah
ialah jalan, sama ada yang terpuji (baik) atau yang keji (jahat)".[3]
2. As-Sunnah:
Sunnah menurut syara:
"Apa
yang diambil (diterima, dinukil, dipindah dan diriwayatkan) dari Nabi Muhammad
sallallahu 'alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda berkenaan akidah dan
amal". [4] Atau:
"Cara
(jalan) yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam yang
dibina (diambil) dari kitab Allah Ta'ala
(al-Quran), sunnah RasulNya dan jalan yang ditempuh oleh para sahabat sekalian
yang telah diijmakkan oleh mereka".[5]
Al-Jamaah diambil dari kalimah (الجمع) yang boleh diertikan kepada
beberapa maksud:
1. Al-Jamaah yang bermaksud:
(1). "Mengumpulkan
atau menyatu-padukan yang berpecah-belah (bercerai-berai)".[6]
(2). "Bersatu dan lawannya berpecah-belah.
(3). Al-Jamaah juga (diistilahkan untuk) menunjukkan
perkumpulan manusia yang bersatu untuk tujuan yang sama".[7]
2.
Al-Jamaah: Golongan yang terbesar atau yang paling ramai
(السواد الاعظم) dari kalangan umat Islam.[8]
3. Al-Jamaah: Golongan (kalangan) para ulama yang
mujtahid.[9]
4. Al-Jamaah: Setiap Umat Islam yang bersatu di bawah satu
amir (pemerintah Islam).[10]
5. Al-Jamaah: Secara khususnya ialah para sahabat Nabi
Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.[11]
Pengertian ini dapat difahami dari sabda Nabi Muhammad sallallahu
'alaihi wa-sallam:
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ
"Hendaklah kamu kembali (ittiba') kepada
sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk
selepasku".[12]
6. Al-Jamaah: Setiap mukmin yang mengikut kebenaran yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam[13] walaupun seorang diri sebagaimana athar sahih
di bawah ini:
اَلْجَمَاعَةُ : هِيَ الَّتِيْ مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ
"Al-Jamaah: Iaitu (sesiapa yang amal dan akidahnya
mengikuti aku atau persis) serupa dengan apa yang ada pada diriku dan para
sahabatku (sesiapa yang sepertiku dan para sahabatku)."[14]
اَلْجَمَاعَةُ مَا وَافَقَ الْحَقَّ وَاِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ.
"Al-Jamaah
(berjamaah) atau (yang dikatakan berada dalam jamaah) ialah apabila (engkau)
mengikuti kebenaran sekalipun engkau hanya seorang diri
(keseorangan)."[15]
Kebenaran adalah setiap apa saja
yang didatangkan oleh Allah dan disampaikan oleh RasulNya yang dikenali sebagai
al-Hak (al-Quran dan as-Sunnah). Maka
Al-Jamaah yang dimaksudkan oleh syarak ialah sesiapa sahaja yang berittiba'
kepada manhaj para sahabat kerana mereka sentiasa memelihara dan mengikut
(berittiba') kebenaran yang telah diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Firman Allah:
اَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلاَ تَكُوْنَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِيْنَ.
"Kebenaran
itu adalah dari Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk
orang-orang yang ragu".
Al-Baqarah,
2:147.
Penafsiran
yang paling tepat tentang "Jamaah" ialah:
"Mereka-mereka
yang tergolong dari kalangan para sahabat kerana mereka sentiasa di atas
kebenaran, ahlinya dan golongan yang teramai (السواد الاعظم) mengikut fahaman (manhaj) salaf
yang hak".[16]
Dengan demikian, sesiapa sahaja yang
mengikuti (ittiba') manhaj para sahabat dengan baik pasti digolongkan sebagai
al-Jamaah. Walaupun al-Jamaah adalah
nama sebenar bagi Ahli Sunnah wal-Jamaah, tetapi antara nama-nama lain yang
diberikan ialah:
1. Ahli al-Hadis atau Ahli al-Athar.
Berkata Ibn Qaiyim rahimahullah:
"Setiap
individu telah mengetahui bahawa Ahli Hadis adalah golongan yang paling benar
sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Mubarak:
Aku dapati agama berada pada ahli hadis percekcokkan pada golongan
Muktazilah, pembohongan pada ar-Rafidah dan banyak berhelah pada Ahli
ar-Rakii".[17]
2. Firqah an-Najiah (Firqah al-Mansurah) atau
At-Taifah an-Najiah (at-Taifah al-Mansurah).
Berkata Ibn Taimiyah rahimahullah:
"Apa yang
dikatakan Firqah an-Najiah ialah pengikut para sahabat Rasulullah sallallahu
'alaihi wa-sallam. Ia adalah syiar Ahli
sunnah. Dinamakan Firqah an-Najiah
kerana mereka itu terdiri dari Ahli Sunnah".[18]
3. Ahli Ittiba'. Dinamakan Ahli Ittiba' kerana sentiasa
berittiba' (mengikuti/mematuhi/mentaati) al-Quran, as-Sunnah Rasulullah
sallallhu ‘alaihi wa-sallam serta athar para sahabat radiallahu 'anhum yang
sahih.
4. Al Guraba'
(الغرباء) bermaksud: "Golongan yang anih, asing, luar biasa,
dagang atau sedikit" sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wa-sallam:
بَدَاَ اْلاِسْلاَمُ غَرِيْبًا سَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأ فَطُوْبَى للغُرِبَاءِ.
"Islam
itu bermula dengan keadaan aneh (asing/luar biasa) maka akan kembali menjadi
aneh (asing/luar biasa) maka berbahagialah orang yang asing itu".[19]
نُقِلَ عَنْ سُفْيَانِ الثَّوْرِيِّ اَنَّهُ قَالَ : اِسْتَوْصُوْا بِاَهْلِ السُّنَّةِ خَيْرًا فَاِنَّهُمْ غُرَبَاءُ.
"Dinukil
dari Sufyian ath-Thauri beliau berkata:
Berwasiatlah kamu kepada Ahli Sunnah dengan kebaikan kerana mereka
guraba".
Dengan penjelasan ini, golongan
yang paling tepat dinamakan al-Jamaah atau Ahli Sunnah wal-Jamaah, Firqah
an-Najiah atau nama-nama yang berkaitan dengan Jamaah Islamiyah, maka mereka
ialah para sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin dan sesiapa sahaja yang mengikut
manhaj para sahabat dengan baik, terutama kalangan ulamak mujtahid yang
berpegang kepada manhaj al-Kitab dan as-Sunnah.[20]
Gelaran Ahli Sunnah wal-Jamaah
muncul diakhir zaman sahabat, ini berdasarkan keterangan yang diambil dari
athar Ibn Abbas apabila beliau menafsirkian Firman Allah:[21]
يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوْهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوْهٌ.
"Pada
hari yang diwaktu itu ada muka yang putih berseri dan ada pula muka yang hitam
muram". Ali Imran, 3:106.
Menurut Ibn
Abbas radiallahu ‘anhu:
"Adapun
orang yang putih berseri-seri mukanya ialah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Ulul
al-Ilm dan yang hitam muram mukanya ialah Ahli bid'ah atau orang yang
sesat".[22]
Dengan berpandukan dalil dan
keterangan di atas, amat tepat pengistilahan yang menetapkan bahawa orang yang
paling berhak dan layak digelar atau dinamakan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah
sesiapa sahaja yang berpegang teguh (ittiba') kepada manhaj para sahabat, tabiin dan tabiut
at-tabiin yang diistilahkan sebagai "Manhaj Salaf As-Soleh". Oleh itu, sesiapa yang tidak berpegang kepada
manhaj Salaf as-Soleh adalah golongan yang berpecah (terkeluar) dari Ahli
Sunnah wal-Jamaah sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah sallallahu
'alaihi wa-sallam:
لَتَفْتَرِقَنَّ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَاحِدَة فِى الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ . قِيْلَ : مَنْ هُمْ ؟ قَالَ : اَلْجَمَاعَة.
"Pasti
akan berpecah-belah umatku kepada 73 firqah, hanya satu ke syurga dan 72 ke
neraka. Baginda ditanya: Siapa mereka (yang ke syurga) wahai
Rasulullah? Baginda bersabda: al-Jamaah".[23]
Dalil yang menjelaskan bahawa hanya
sesiapa yang berpegang dan kembali kepada al-Quran, sunnah Rasulullah dan athar
sahabat berhak dinamakan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj salaf ialah
berdasarkan hadis sahih:
مَا
اَنَا عَلَيْهِ الْيَوْم وَاَصْحَابِيْ.
"(Al-Jamaah)
ialah sesiapa yang seperti aku sekarang dan para sahabatku".[24]
Adalah wajib bagi setiap mukmin
menjadikan akidah dan amalannya seperti yang diyakini dan dicontohkan oleh para
Ahli Sunnah wa-Jamaah yang bermanhaj salaf, iaitu manhaj yang diikuti oleh para
sahabat, tabiin, tabiut at-tabiin dan sesiapa saja yang mengikuti mereka dengan
baik. Firman Allah:
وَكُوْنُوْا مَعَ الصَّادِقِيْنَ
"Dan
hendaklah kamu bersama orang-orang siddiqin (yang benar)".
At-Taha,
20:119.
Orang-orang utama yang telah
mendapat gelaran dan penghormatan sebagai syuhada', solehin dan siddiqin ialah
para sahabat, maka untuk digolongkan sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah yang
diterima oleh syara, sewajarnya seseorang itu memenuhi pensyaratan yang
ditetapkan oleh hujjah-hujjah di atas, iaitu kembali kepada manhaj yang
diterima oleh Rasulullah yang telah dipegang dan diamalkan oleh para
sahabat. Caranya hanya dengan
mengikuti, kembali dan mentaati al-Quran, as-sunnah atau wahyu yang diturunkan
kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam.
Suruhan atau perintah agar bepegang
teguh dengan sunnah Rasulullah dan athar para sahabat sebagai manhaj yang
terjamin terdapat di dalam al-Quran, hadith-hadith dan athar yang sahih,
antaranya ialah firman Allah:
وَاتَّبِعْ سَبِيْلَ مَنْ اَنَابَ
"Dan
ikutilah jalan orang-orang yang kembali kepadaKu".
Luqman,
31:15.
Orang-orang yang benar-benar
mengikuti dan kembali ke jalan Allah Suhanahu wa-Ta'ala tentulah Rasulullah
sallallahu 'alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda kerana mereka sentiasa
mematuhi firman Allah:
اِتَّبِعُوْا مَا اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلاَ تَتَّبِعُوْا مِنْ دُوْنِهِ اَوْلِيَاءَ قَلِيْلاً مَا تَذَكَّرُوْنَ.
"Ikutlah
oleh kamu apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu
mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya.
Amat sedikit dari kamu mengambil pelajaran (daripadanya)". Al-'Araf, 7:3.
Pengertian "Mengikut apa yang
telah diturunkan" sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat di atas ialah
mengikut atau kembali kepada wahyu yang berupa al-Quran dan hadis Rasulullah
sallallahu 'alaihi wa-sallam. Hadis atau
kata-kata Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dinamakan sebagai wahyu
berdasarkan ayat al-Quran:
وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى اِنْ هُوَ اِلاَّ وَحْيٌ يُوْحَى
"Dan
tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kamahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanya wahyu yang
dibawakan (kepadanya)". An-Najm,
53:3-4.
Semasa Rasulullah ingin
menyampaikan wasiat agar umat Islam benar-benar kembali kepada manhaj Ahli
Sunnah wal-Jamaah dan meninggalkan Ahli bid'ah, tanda-tanda kesungguhan yang
tergambar di wajah Rasulullah telah merubah suasana dan keadaan para sahabat di
ketika itu, sehingga menggegarkan hati para sahabat dan mengalirkan air-mata
mereka. Kejadian tersebut telah
menunjukkan peripentingnya umat Islam berpegang dan kembali kepada pegangan
Ahli Sunnah wal-Jamaah yang menjadi manhaj para sahabat sekalian. Rasulullah berwasiat:
اُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ وَالسَّـمْعِ وَالطَّاعَةِ وَاِنْ وَلَّى
عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ ، وَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ مِنْ بَعْدِيْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ ، تَمَسَّكُوْابِهَاوَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الاُمُوْرِ، فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَـلاَلَةٌ ، وَكُلَّ ضَـلاَلَةٍ فِى النَّارِ.
"Rasulullah
sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan kepada kami sehingga
membuat hati kami bergetar dan air mata berlinangan. Kami berkata:
Wahai Rasulullah! Seakan-akan ini
wasiat perpisahan maka berwasiatlah kepada kami. Baginda
bersabda: Aku wasiatkan kepada
kamu agar tetap bertakwa kepada Allah, sentiasa mendengar dan taat walaupun
yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi.
Sesungguhnya sesiapa yang hidup antara kamu selepasku akan melihat
ikhtilaf yang banyak, maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa
ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk.
Peganglah ia dan gigitlah dengan gigi geraham. Aku peringatkan kamu tentang benda-benda yang
baru kerana setiap yang baru itu bid'ah dan setiap yang bid'ah itu
sesat".[25]
Appendix
[1]. Lihat:
لسان العرب - مادة (سنن)
[2]. Lihat:
(1). مختار الصحاح
Hlm. 133. ar-Razi. (2). Inilah takrif yang diberikan oleh Ibn Athir
dalam النهاية فى غريب الحديث قى مادة : (سنن) Jld. 2. Hlm. 409.
[3]. Lihat:
لسان العرب - مادة (سنن)
[4]. Lihat:
لمعة الاعتقاد الى سبيل الرشاد
Hlm. 40. al-Uthaimin.
[5]. Lihat:
اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى
Juz. 1. Hlm 21. Khalid bin Abdul Latif bin Muhammad Nor.
[6]. Lihat:
(1). منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz. 1. Hlm. 20. Khalid bin Abdul Latif bin Muhammad
Nor.(2). القاموس المحيط . مادة : (حمع) Hlm. 917.
Al-Fairuz Abadi.
[7]. Lihat:
(1) مجموعة فتاوى
Jld. 3. Hlm.
157.(2). المعجم الوسيط . مادة : (جمع) Jld. 1.
Hlm. 135.
[8]. Lihat:
H/R At-Tabari dalam "Al-Kabir" (1/320).
[9]. (1).
Ini adalah kata-kata 'Amru bin Qais dalam الابانة. Jld. 2. Hlm. 492. Ibn Battah (2). Perkataan Bukhari di dalam kitab sahihnya
(13/328). (3). Turmizi dalam sunannya (4/467).
[10]. Lihat:
الاعتصام
Jld. 2. Hlm.
263. As-Syatibi.
[11]. Inilah yang dijelaskan oleh al-Barbahari
dalam شرح السنةHlm. 22.
[12]. H/R Ahmad (4/162). Abu Daud (5/13). Turmizi (7/437) dan Ibn Majah (1/15).
[13]. Lihat:
شرح السنة Hlm.
22. Al-Barbahari.
[14]. Lihat:
تحفة الاحوذى(7/399-340). Berkata Turmizi: Hadis ini hasan dan gharib. Lihat: سلسلة الاحاديث الصحيحة
No. 203 atau 1192. Syeikh Al Albani.
[15]. Lihat: Riwayat Baihaqi. al-Madkhali. الحوادث والبدعHlm.
22. Abu Syamah.
[16]. Lihat:
اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى
Juz. 1. Hlm. 23.
[17]. Lihat:
Bahaya Taqlid Buta & Ta'sub Mazhab.
Hlm. 81. Rasul Dahri.
[18]. Lihat:
منهاج السنة Jld.
3. Hlm. 457.
Ibn Taimiyah.
[19]. H/R
Muslim.
[20]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالىJuz 1 Hlm 23.
[21]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz
1 hlm 23.
[22]. Ibid.
[23]. H/R Ibn Majah (2/1322). Hadith ini disahihkan oleh al-Haitimi
dalam (الزوائد) Disahihkan juga oleh al-Iraqi di
dalam (تلخيص الاحياء.
[24]. Lihat:
H/R Turmizi. (تحفة الاحوذى) (7/399-240).
[25]. H/R Ahmad, Abu Daud, Turmizi dan Ibn Maja