BAB KEEMPAT - KALIMAH TAUHID ‘
LA'ILAHA'ILLALLAH
Kalimah LA'ILAHA'ILLALLAH sebenarnya ialah
kalimah tauhid iaitu kalimah mengESA akan Allah. Hakikat kalimah ialah menyata akan
Allah. Bagaimana hendak menyata akan
Allah? Sedangkan bila diucapkan kalimah
itu tidak mengandungi intipatinya dan kemahuan kalimah itu sendiri, tanpa ada
rukun dan syaratnya.
Melafazkan kalimah itu sah dengan tiga
rukun, iaitu pertama lafaz di lidah, kedua tasdik dihati dan ketiga laku dengan
perbuatan.
Lafaz di lidah, siapa-siapa pun tahu dan
dapat melafazkan dengan lidah atau mulut, kecuali orang-orang bisu. Laku dengan
perbuatan, iaitu menunaikan tuntutan kalimah itu sendiri (insyallah akan
diterangkan di bab-bab yang akan datang).
Tasdik dihati, (disinilah yang akan
diperbincangkan dengan panjang lebar, kerana disinilah matlamat dan hakikatnya
kalimah). Apakah yang dimaksudkan dengan
tasdik dihati? Benarkah sebagaimana
kefahaman kebanyakan umat Islam kini, yang dimaksudkan tasdik dihati itu
menterjemahkan atau mengalih bahasakan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu
(Jawi)? Benarkan tasdik itu TIADA TUHAN
YANG DISEMBAH MELAINKAN ALLAH?
Maksud sebenar tasdik dihati itu ialah
membenarkan dihati, yang terkandung didalamnya nafi dan isbat, bukanlah dengan
mengalih bahasakan atau menterjemahkan bahasa.
Sekiranya benar seperti apa yang difahamkan oleh kebanyakan umat Islam
kini, iaitu menterjemahkannya, bagaimana pula bangsa Arab sendiri yang
melafazkan kalimah, dan bagaimana pula mereka hendak mentasdikkan dihati? Sedangkan kalimah itu bahasa Arab, apa pula yang
hendak diterjemahkan oleh bangsa Arab?
Mithalnya
kita yang berbangsa Melayu, apabila kita sebut "ayam makan
padi" apa pula yang hendak kita terjemahkannya atau hendak di alih
bahasakannya? Sedangkan kita sudah faham
dengan perkataan tersebut. Begitulah
juga dengan bangsa Arab yang menyebut " LA'ILAHA'ILLALLAH " yang
sudah pun mereka faham maksudnya, dengan apa pula yang hendak mereka
tasdikkan?.
Rukun syahadah yang tiga seperti yang
tersebut diatas, bukanlah sahaja tertakluk kepada bangsa Melayu atau selain
dari bangsa Arab, malahan rukun yang tiga itu tertakluk kepada sesiapa sahaja
yang mengaku beragama Islam. Tidak
tahulah pula kalau-kalau ada petua yang mengatakan rukun syahadah yang tiga itu, dua kepada bangsa arab dan tiga
kepada selain dari bangsa arab?.
Maksud sebenar apa yang dikatakan tasdik di
hati itu bukanlah alih bahasa, tetapi membenarkan dihati. Tidak sah kalimah jikalau sekadar alih
bahasa. Kebanyakan orang-orang Islam
pada hari ini nafi berhala (tok kong) dan isbat tuhan (Allah) kerana ekoran
dari terjemahan atau alih bahasa tersebut.
Sayugia diingatkan tidak sah kalimah seseorang itu jika beliau nafi
berhala (tok kong), kerana berhala itu tidak ada langsung sifat-sifat ketuhanan
dan alangkah lekehnya jika diperbandingkan berhala untuk dinafikan dengan ZAT
Allah swt.
Pada hakikatnya
lafaz dilidah dan laku dengan perbuatan itu sendiri tersimpul didalam tasdik
dihati. Jadi tasdik dihati itu mengambil
peranan penting didalam mengesahkan kalimah tauhid. Salah tasdik, nauuzbillah, berkecailah kalimah itu, tidak sah kalimah, tidak sah
Islam.
Jadi bagaimana pula kalimah tauhid itu
hendak dijadikan kalimah mengESA? Iaitu
dengan mengetahui syarat dan rukun tasdik itu, iaitu NAFI dan ISBAT. Nafi itu maksudnya menolak dan Isbat itu
maksudnya menerima. Apakah yang kita
hendak nafi dan apa pula yang hendak kita isbat? Sebenarnya kita nafi HAK MAKHLUK dan isbat
HAK ALLAH. Kita nafikan apa yang berlaku
di makhluk itu bukan HAK MAKHLUK, dan kita isbatkan barang apa yang berlaku di
makhluk itu HAK ALLAH.
Dalil firman
Maksudnya;
"Padahal
Allahlah yang menjadikan/menciptakan
kamu dan segala perbuatan kamu “
(Al Shaffat: 96).
Kesimpulan dalil
naqli diatas ialah, Allah menegaskan bahawasanya DIA (Allah) menjadikan kita
dan segala apa yang kita lakukan, yakni segala apa yang tengah dok jadi.
Kesimpulannya, kita nafikan yang dalam
(tengah dok jadi) itu bukan HAK KITA (MAKHLUK) dan kita isbatkan yang dalam
(tengah dok jadi) itu adalah HAK ALLAH.
Terutamanya pada sifat maani yang tujuh, yang dalam proses (tengah dok
jadi) di kita itu bukan HAK KITA (MAKHLUK), tapi HAK ALLAH, yang berlaku itu
hanya lalu atau terupa sahaja dikita, sedangkan pada hakikatnya kita pun tidak
ada, hanya tengah dok jadi.
Itulah sebabnya jikalau kita perasan atau
dakwa yang berlaku di kita itu HAK kita, wajib kena atas syirik. Bukan setakat meletakkan pada diri kita
sahaja, tapi kena meletakkan nafi dan isbat (kalimah) itu pada tiap-tiap
sesuatu, setiap waktu dan setiap ketika, baharulah sebenar ESA (bukan
satu). Matlamat yang kita nafi dimakhluk
dan isbat di makhluk, kerana makhluklah yang menyata akan Allah (NYATA ALLAH)
yang tidak nyata. Dengan itu hakikat
kalimah ialah untuk mengESA akan Allah.
Setelah TIADA HAK MAKHLUK MELAINKAN HAK
ALLAH sentiasa, diamalkan pula TIADA LAIN MELAINKAN ALLAH, maksud LAIN itu
ialah tiada yang lain yang berlaku dimakhluk itu melainkan
ALLAH. Setelah sentiasa amalkan pula
TIADA YANG NYATA MELAINKAN ALLAH, selepas itu TIADA YANG ADA MELAINKAN ALLAH
(La maujud bilhak illallah). Tiada yang
ada melainkan ada, yang ada pada mata kasar ini, ada yang tak sebenar. Yang ada sebenar hanyalah Allah sahaja. Sebab apa dikatakan yang lain itu ada tidak
sebenar? , sebab ada yang lain itu hanya dalam proses kejadian (tengah dok
jadi). Yang ada sebenar hanyalah Allah
(Ujud yang mutlak).
Akhir sekali, apabila tiada yang lain
melainkan Allah, tiada yang nyata melainkan Allah, dan apabila Allah sudah
nyata sentiasa, maka tidak perlulah lagi berkalam. Sebab itu mengakhiri kalam, tidak berkalam,
tapi duduk didalam. Maksud duduk didalam
ialah, tiada pelihat aku, tiada mendengar aku, tiada gerak diam aku dsbnya
melainkan Allah. Maksudnya kita sudahpun
duduk didalam kalimah.
Jadi untuk memahami
kedudukan kita ini, kenalah tahu dan faham, itulah yang dikatakan ilmu, dan
ilmu itulah yang memainkan peranan penting, tersalah ilmu yang dituntut tidak
kekal dan tidak bertemulah dengan IKTIKAD yang HAK atau iktikad yang sebenar.
"Faklam annahu LA'ILAHA'ILLALLAH" ertinya, ketahuilah
olehmu LA'ILAHA'ILLALLAH. Disuruhnya kita tahu kalimah itu, hendak tahu
pasti dengan ilmu (Ilmu Maarifat), sebab itu didalam satu petikan hadith
berbunyi "Kalau hendak selamat dunia dan akhirat hendaklah duduk didalam
kota". Maksud kota di sini ialah
kalimah LA'ILAHA'ILLALLAH. Dengan itu kenalah kita meletakkan kalimah
pada tiap-tiap sesuatu, tidak bercerai dan tidak bersekutu, tiada hak makhluk
(ini yang ada ini?) HAK ALLAH. Kita nafi
hak makhluk bukan nafi makhluk, kalau kita nafi makhluk, dimana hendak nyata
Allah?
Jikalau nafi makhluk atau berhala (tok
pekong) tidak sah. Nafi berhala (tok
pekong) sah pada mualaf yang baharu sahaja, kalau sudah lama Islam tidak sah
nafi berhala. Jikalau nafi berhala juga
maka terbatal nafi. Dikiaskan pada
cerita bahtera Nabi Noh, iaitu berpasang-pasang masuk kedalam bahtera itu
dikiaskan kepada nafi dan isbat, supaya tidak tenggelam didalam air, dikiaskan
kepada api neraka. Maksudnya apabila ada
nafi dan isbat yang sebenar, tidaklah tenggelam didalam api neraka.
Jadi hendak cari Tuhan kena cari
dimakhluk, sebab itu kena kenal makhluk habis-habis. Perumpamaannya; hendak jadi dodol (wajik)
kenalah gaul (kacau) santan, gula dan tepong didalam kuali sehingga jadi dodol
(wajik). Dan apabila hendak cari dodol
(wajik), kenalah cari disantan, gula dan tepong. Tapi bagi orang-orang syariat
duduk kuis buang santan, gula dan tepong, akhirnya tinggallah kuali kosong,
dapat kuali panas sahajalah, apa hasil pun tidak ada.
Dari sebuah hadis Rasullallah saw,
"Lemah pendapat akan mendapat, lalu mendapat." Maksudnya bagi orang-orang syariat,lemah
hendak mencari Tuhan tidak dapat-dapat, duduk dapat makhluk, lain daripada
makhluk itulah Tuhan, dapat Tuhan tidak tahu dimana?. Apabila tidak tahu dimana, kenalah atas
baharu, baharu jadi Tuhan. Bagi
orang-orang hakikat, lemah hendak mencari hak makhluk tidak dapat-dapat, yang
duduk dapat hak Allah. Dapat
dimana?. Meliputi tiap-tiap
sesuatu. Kita kenalah meletakkan kalimah
pada tiap-tiap sesuatu, apabila kita pandang tiap-tiap sesuatu itulah kalimah. Sebab tiap-tiap sesuatu itu bertepi, tepi
kena bertempoh dengan kuasa dan kuasa ada diri kuasa iaitu ZAT. Maka nyatalah kalimah yang tidak berhuruf dan
bersuara dan bukanlah kalimah yang dialih bahasakan, yang berhuruf dan
bersuara. Maka nyatalah kalimah yang tidak berhuruf dan tidak bersuara, itulah
sebenar- benar kalimah. Tujuan dan
matlamat sebenar kalimah ialah untuk menyatakan Allah. Maka nyatalah sungguh Allah itu.
Sebenarnya
kalimah LA itu ertinya tiada, tiada dimana? Maksudnya tiada yang duduk berlaku
dimakhluk. Yang duduk berlaku di makhluk
itu HAK ALLAH bukan HAK MAKHLUK. TIADA
HAK MAKHLUK MELAINKAN HAK ALLAH. LA ertinya tiada tetapi sebenarnya ada (Tidak
ada hak makhluk, yang ada hanya hak Allah).
Bila disebut LA, sudahpun ada
Tuhan, bukan seperti sesetengah fahaman orang-orang syariat, iaitu laillah itu
tiada Tuhan, illallah baru ada Tuhan. LA
itu datang dari mana? Adakah LA itu hak
makhluk? Tidak ada, yang ada HAK ALLAH. Tiada yang lain yang duduk berlaku itu,
melainkan Allah. Akhir sekali tiada yang
ada melainkan Allah. Jadi barulah
bertepatan yang kalimah itu cukup luas.
Tujuh petala langit dan tujuh petala bumi terkandung didalam
kalimah LA'ILAHA'ILLALLAH.. Tiada HAK tujuh petala langit dan tujuh
petala bumi, melainkan HAK ALLAH.
Amanah Allah kepada kita, datang suci kembali
suci. Semasa di alam ROH suci, sedikit
pun tidak ada syirik, sebab duduk nyata Allah sentiasa, tetapi setelah datang
ke alam zahir (dunia) ini terdinding, sudah pun syirik, tidak suci lagi. Petikan dari sebuah hadis Rasullallah saw,
dari Abu Hurairah, "Apabila diberi Amanah mereka khianati" (S.M.). Apa dia amanah yang dimaksudkan? Jawabnya ialah dari suci hendaklah kembali
suci. Mestilah nyata Allah sentiasa pada
tiap-tiap sesuatu. Inilah amanah yang
paling berat, yang tidak disanggupi oleh makhluk-makhluk jenis lain, melainkan
manusia.
Agama itu suruh dan tegah, disuruh mentauhid
akan Allah dan ditegah daripada mensyirik akan Allah. Tidak sempurna agama itu jikalau ada syirik
walau sebesar zarah sekalipun. Kita
dikira orang salik (sedang berjalan) belum pun sampai lagi, sebab itu kadang-kadang
kita terlalai dan terlupa. Apabila
sampai baharulah Allah kata, "Pada hari ini aku sempurnakan kamu akan
agama kamu".
Orang-orang yang tidak beriman menyangka,
apabila Allah memberi mereka dengan rezeki yang banyak, Allah sayang pada
mereka, mereka lalai da leka dengan rezeki itu.
Pada hal Allah memberi rezeki itu dengan kemurkaannya . Seperti ibarat didalam satu kisah Nabi Daud,
iaitu kisah monyet salah sangka terhadap Nabi Daud. Monyet sangka Nabi Daud membaling sekerat
tebu padanya itu Nabi Daud suka padanya, kerana monyet itu tidak susah payah
pergi mematahkan tebu-tebu lain. Monyet
tidak tahu sebenarnya Nabi Daud baling tebu padanya sebab Nabi Daud marah
padanya. Jadi monyet itu salah sangka
terhadap Nabi Daud. Begitulah salah
sangka orang-orang yang tidak beriman.
MUDAH-MUDAHAN
BERMANFAAT INSYALLAH
*PERLU BERGURU JIKA
INGIN MENDALAMI ILMU INI,SEKADAR RUJUKAN SAHAJA DAN PENGENALAN BAGI YANG TIDAK
PERNAH MENGETAHUI TENTANG ILMU MENGENAL ALLAH INI...
No comments:
Post a Comment